Jo Ann Mool
K0TA KINABALU: Mayor kalah pusingan pertama apabila permohonannya untuk mengetepikan saman yang dibuat oleh Parti Maju Sabah (SAPP) terhadapnya kerana cuba menanggalkan papan tanda Sabahtv.net parti itu di ibu pejabatnya, ditolak pada Khamis.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk David Wong menolak Permohonan itu dengan kos setelah mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak.
Beliau memerintahkan defendan memfail pembelaan mereka terhadap saman utama pada atau sebelum 25 Nov.
Terdahulu, Ken Yong, salah seorang peguam yang mewakili Setiausaha Agung SAPP Datuk Richard Yong We Kong yang memfail saman itu, memberitahu mahkamah, memandangkan kedua-dua belah pihak tidak dapat menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah maka mereka teruskan dengan permohonan mayor untuk mengetepikan saman itu.
Pada 10 Oktober lalu, Peguam Kanan Negeri Hanafiah Kasim mencadangkan supaya saman itu diselesaikan di luar mahkamah.
Wong dalam keputusannya berkata Yong adalah seorang pemegang jawatan dan boleh menyaman bagi pihak Parti itu.
Beliau juga memutuskan, kes Mahkamah Persekutuan yang telah diputuskan seperti yang dinyatakan peguam,mayor itu, tidak ada kaitan dengan kes sekarang ini kerana mentafsir Undang-Undang Kecil (lklan) Majlis Perbandaran Kota Kinabalu 1983 bukannya kes yang semata-mata berdasarkan kepada elemen undang-undang awam substantif.
Wong juga menolak kurungan 3 SAPP, selepas dimaklumkan oleh peguam Ken bahawa mereka menarik balik Kurungan 3 kerana defendan bersetuju untuk tidak membuka papan tanda itu sehingga kes saman itu selesai.