KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) mempersalahkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana gagal melaksanakan tugasnya untuk memperbaiki taraf dan mutu hidup rakyat.
Exco Pemudanya, Clement Lee, berkata BN gagal disebabkan oleh ekonomi tidak mapan, kemudahan asas lemah, prasarana dan perancangan pengangkutan yang kurang baik disebabkan oleh ketiadaan kuasa autonomi daripada kerajaan sedia ada.
Tinjauan semasa oleh Bank Dunia bertajuk "2010 Malaysia Economy Monitor (MEM)", katanya, menyatakan bahawa Sabah adalah negeri termiskin di Malaysia.
"Apa yang telah kita lakukan untuk memperoleh gelaran ini?" soalnya.
Beliau rnendakwa pemberian bantuan RM500 oleh Kerajaan BN untuk isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan hanyalah sekadar gimik politik untuk memperdaya pengundi kerana pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi.
Pemberian bantuan tersebut, katanya, sepatutnya sudah lama diberikan sebelum BN memutuskan untuk menaikkan kenaikan harga petrol beberapa tahun lalu.
"Perlu diingatkan bahawa kami tidak menentang pemberian bantuan ini tapi kami mempersoalkan kenapa ia mengambil masa yang terlalu lama (untuk diagihkan) dan kenapa hanya sekali," katanya.
Beliau mengeluh kerana walaupun Sabah dianugerahi dengan kekayaan sumber alam, rakyatnya menerima gaji terendah di negara ini.
Ironiknya, beliau berkata Sabah juga mempunyai kos hidup yang tertinggi di negara ini.
Lee berkata golongan yang kaya semakin kaya sementara yang miskin semakin miskin dan jurang pendapatan antara yang kaya dan kelas pertengahan semakin besar.
Sabah, katanya, sepatutnya dibangunkan dengan lebih baik berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia pada hari ini.