Tuesday, 17 January 2012

SAPP: BN gagal perbaiki taraf, mutu hidup rakyat

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) mempersalahkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana gagal melaksanakan tugasnya untuk memperbaiki taraf dan mutu hidup rakyat.

Exco Pemudanya, Clement Lee, berkata BN gagal disebabkan oleh ekonomi tidak mapan, kemudahan asas lemah, prasarana dan perancangan pengangkutan yang kurang baik disebabkan oleh ketiadaan kuasa autonomi daripada kerajaan sedia ada.

Tinjauan semasa oleh Bank Dunia bertajuk "2010 Malaysia Economy Monitor (MEM)", katanya, menyatakan bahawa Sabah adalah negeri termiskin di Malaysia.

"Apa yang telah kita lakukan untuk memperoleh gelaran ini?" soalnya.

Beliau rnendakwa pemberian bantuan RM500 oleh Kerajaan BN untuk isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan hanyalah sekadar gimik politik untuk memperdaya pengundi kerana pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi.

Pemberian bantuan tersebut, katanya, sepatutnya sudah lama diberikan sebelum BN memutuskan untuk menaikkan kenaikan harga petrol beberapa tahun lalu.
 
"Perlu diingatkan bahawa kami tidak menentang pemberian bantuan ini tapi kami mempersoalkan kenapa ia mengambil masa yang terlalu lama (untuk diagihkan) dan kenapa hanya sekali," katanya. 

Beliau mengeluh kerana walaupun Sabah dianugerahi dengan kekayaan sumber alam, rakyatnya menerima gaji terendah di negara ini.

Ironiknya, beliau berkata Sabah juga mempunyai kos hidup yang tertinggi di negara ini.

Lee berkata golongan yang kaya semakin kaya sementara yang miskin semakin miskin dan jurang pendapatan antara yang kaya dan kelas pertengahan semakin besar.

Sabah, katanya, sepatutnya dibangunkan dengan lebih baik berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia pada hari ini.

Disebabkan Kerajaan BN gagal untuk melahirkan ekonomi yang mapan, beliau berkata ini menjurus kepada kekurangan pekerjaan dan peluang perniagaan untuk penduduk tempatan sambil pada masa sama, menyekat pasaran dengan kebanjiran pendatang tanpa izin yang bersaing untuk mendapatkan pekerjaan dengan penduduk asal Sabah.

"lni telah dan akan terus secara langsung menurunkan gaji dan menjejaskan pasaran kerja Sabah," katanya.

Disebabkan oleh kuasa membeli yang kecil yang dipunyai oleh rakyat, Lee berkata terdapat kesan langsung terhadap pendapatan perniagaan kecil dan sederhana di seluruh Negeri.

“Kami menyedari  kedai dan gedung beli-belah buka dan tutup pada kadar yang membimbangkan," katanya.
Kebanyakan golongan muda yang bekerja, katanya, mendapati sukar untuk menampung kehidupan dengan kenaikan kos hidup sedangkan gaji mereka kekal tidak berganjak.

Keadaan itu, katanya, tidak selaras dengan kadar inflasi di Negeri ini.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata sektor pelancongan adalah salah satu daripada tiga sektor yang dikenalpasti sebagai halatuju di Negeri ini.

Namun,baru-baru ini, beliau berkata syarikat penerbangan negara MAS, tanpa berfikir panjang, rundingan dan pertimbangan, memutuskan untuk membatalkan empat laluan antarabangsa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Lee berkata langkah tidak bijak ini secara langsung menjejaskan industri pelancongan, agensi pelancongan, pemandu pelancong, industri perhotelan dan peniagaan tempatan lain yaug berkaitan.

Dalam hal ini, beliau mempersalahkan masalah ini kepada ketiadaan kuasa autonomi di Sabah.

Mengambil contoh dasar kabotaj dan langit terbuka, beliau berkata Sabah tidak boleh hanya bergantung kepada pemberian bantuan yang diberikan sekali-sekala untuk membangun Sabah.

"Kita mempunyai maruah. Kita perlu memastikan taraf hidup rakyat Sabah bertambah baik dan terus berkembang dengan pentadbiran yang baik, yang hanya difahami, dilaksanakan dan dinyatakan oleh rakyat Sabah yang sebenar," katanya.

Beliau berkata sudah tiba masanya bagi rakyat Sabah untuk kekal bersatu dalam mempertahankan hak mereka serta memastikan pengembalian Kerajaan Negeri kepada tangan rakyat Sabah.

"Keputusan, besar dan kecil, tidak perlu melalui Kerajaan Persekutuan. Kita boleh menentukan masa depan kita sendiri," katanya,

Harian Ekspres
Selasa, 17 Januari 2012
M/s 7

No comments:

Post a Comment