Oleh VITALIS G. BINGKASAN
KOTA KINABALU: Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Inanam meragui kemampuan dan integriti Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menangani peningkatan drastik kos penjanaan elektrik dua tahun beruturt-turut di negeri ini.
Pengerusi biro ekonominya, Chong Tet Loi berkata perkembangan itu dibimbangi akan dijadikan alasan oleh SESB untuk menaikkan lagi tarif elektrik di negeri ini.
Bercakap dalam satu sidang media di Inanam kelmarin, beliau berkata kajian berdasarkan laporan tahunan SESB bagi tempoh 2007-2011 menunjukkan perkembangan baik pada tahun 2007-2009.
"Kos penjanaan seunit selepas subsidi kerajaan berkurang dari 16.9 sen kepada 16.3 sen pada 2008 dan turun lagi kepada 15.9 sen pada 2009.
"Bagaimanapun, pada 2010 berlaku peningkatan drastik kepada 24.7 sen seunit iaitu meningkat 55 peratus dan ia terus naik kepada 25.0 sen pada 2011," katanya.
Menurut Tet Loi, apa yang berlaku pada 2010 itu menimbulkan persoalan kerana SESB mencatat keuntungan RM125 juta selepas cukai pada 2006 dan menunjukkan rekod baik pada tiga tahun berikutnya.