Larry Ralon
KOTA KINABALU: Soal perwakilan Sabah dalam Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ditimbulkan seorang ahli pembangkang semasa sidang Dewan Undangan Negeri di sini Selasa, yang bertanyakan sama ada Kerajaan Negeri akan meminta pertambahan oleh kerana Sabah adalah pengeluar terbesar minyak sawit di negara ini.
Adun Luyang Lemanie Chia, dari Parti Maju Sabah (SAPP) menimbulkan perkara itu dalam soalan tambahannya kepada Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Raymond Tan semasa sesi soal jawab di sini Selasa.
Tan dalam jawapannya berkata, bukan jumlah orang Sabah dalam MPOB yang penting tetapi sama ada ia boleh menyumbang terhadap pembangunan perindustrian ataupun tidak.
"Saya tidak tahu berapa ramai pegawai dalam MPOB tetapi terdapat mereka dari Sabah. Jadi kenapa? Apa yang penting adalah sama ada agensi ini boleh menyumbang terhadap industri itu atau tidak....tetapi adalah mudah bagi saya untuk meminta MPOB menambah perwakilan Sabah dalam agensi itu, itu tidak jadi masalah," katanya.
Terdahulu beliau menuduh Chia mempunyai perasaan sensitif terhadap agensi-agensi kerajaan Persekutuan, yang dijawab oleh Chia bahawa Tan cuba mempolitikkan perkara itu.