Monday, 5 March 2012

PM perlu mohon maaf kepada rakyat Sabah: SAPP

KOTA KINABALU: Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak perlu memohon maaf secara khusus kepada rakyat Sabah atas banyak kesilapannya di sini, kata Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee.

Yong yang juga bekas Ketua Menteri, berkata Najib perlu memohon maaf kerana beliau mendakwa Kerajaan BN menyebabkan Sabah menjadi sebuah negeri miskin.

"Najib perlu untuk memohon maaf kepada rakyat Sabah kerana kita adalah negeri termiskin di Malaysia, kita mempunyai keadaan jalan yang teruk, kemudahan kesihatan yang buruk, dibanjiri pendatang tanpa izin dan tiada subsidi pengangkutan," katanya di booth khidmat SAPP di Pasar Minggu Jalan Gaya, di sini.

Beliau berkata Najib juga perlu memohon maaf kepada rakyat Sabah kerana beliau gagal mengumumkan sama ada suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah akan ditubuhkan atau tidak.

Turut hadir adalah Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun, Timbalan Presiden merangkap Adun Likas Datuk Liew Teck Chan, Timbalan Presiden Amde Sidik, Bendahari Agung Dullie Marie, Setiausaha Agung Datuk Richard Yong, Ketua Wanita merangkap Adun Luyang, Melanie Chia, Ketua Pemuda Edward Dagul, Ketua Penerangan Chong Pit Feh dan pemimpin parti lain.

Yong membuat gesaan itu susulan permohonan maaf Najib kepada rakyat di Baling, Kedah.

Najib menyatakan permohonan maaf itu kepada rakyat bagi pihak Barisan Nasional atas kesilapan yang menyebabkan pengundi menolaknya pada pilihan raya umum sebelum ini.

"Kami belajar dari kesilapan dan kami memohon maaf.

"Pemenang memohon maaf... dan yang kalah juga memohon maaf," kata Najib.
 
Najib turut berkata BN akan menebus kesilapan itu dengan berkhidmat untuk rakyat sebaik mungkin.

"Pada saya, kita jangan angluh dan bongkak. Sebab kita mesti tunduk kepada kuasa rakyat dalam demokrasi berparlimen. Kalau rakyat tolak BN dulu mesti ada kesilapan kita. Kita minta maaf atas kesilapan kita dulu," kata Perdana Menteri.

Yong mendakwa Kerajaan Persekutuan memberi subsidi pengangkutan berjumlah lebih RM30 juta kepada Kelantan dan Melaka tetapi Sabah tidak memperoleh apa-apa.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan turut memansuhkan tol untuk dua jalan di Selangor bernilai kira-kira RM83 juta dan memberi subsidi kepada empat pemegang konsesi lebuh raya di Semenanjung bernilai kira-kira RM287 juta.

Beliau berkata, Sabah, selain menerima layanan buruk, keadaan jalan di seluruh Negeri juga adalah buruk.

Yong selanjutnya berkata kemudahan kesihatan juga masih teruk dan tiada hospital besar di sini.

Katanya, Sabah dibanjiri pendatang tanpa izin tetapi Kerajaan Persekutuan BN tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan masalah ini.

Menurutnya, kegagalan Najib untuk mengumumkan penubuhan RCI ketika kunjungan beliau baru-baru ini turut mewajarkannya untuk memohon maaf kepada rakyat Sabah.

Mengenai sama ada SAPP akan bekerjasama dengan parti pembangkang lain, Yong berkata rundingan dengan Star, Usno dan pemimpin komponen Pakatan Rakyat (PR) seperti DAP dan Keadilan sedang dijalankan.

Bagaimanapun, tiada persetujuan kukuh dicapai.

Beliau berkata SAPP bersetuju bahawa ketua PR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan Perdana Menteri sekiranya BN dikalahkan dalam pilihan raya umum akan datang.

Harian Ekspres
Isnin, 05 Mac 2012
M/s 2

15 comments:

  1. Tidak perlu memohon maaf, kerajaan BN cuma perlulah membaiki kesilapan mereka, itu sudah cukup.

    ReplyDelete
    Replies
    1. perbaiki kesilapan dan tunaikan permintaan rakyat sabah seperti penubuhan RCi untuk menyiasat projek IC.

      Delete
  2. Minta maaf senang sahaja, tapi keikhlasan untuk membaiki kesilapan lebih penting.

    ReplyDelete
  3. SAPP juga perlu meminta maaf atas isu SAS dan kelemahan2 lain pada zaman pemerintahan YTL.

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya.. SAPP perlu minta maaf kerana mereka SAS rugi teruk.

      Delete
  4. "SAPP bersetuju bahawa ketua PR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan Perdana Menteri sekiranya BN dikalahkan dalam pilihan raya umum akan datang."

    memang senang cakap tapi jika benar mereka menang dalam PRU nanti, saya fikir ramai yang akan berebut2 jawatan.

    ReplyDelete
  5. masih banyak otak kerbau di zaman internet...yg tidak pandai menelai cuba pandai mengkritik...

    ReplyDelete
  6. Rasanya semasa YTL jadi CM pun Sabah tidak juga jadi yang terkaya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maybe YTL should also apologize to the people too.

      Delete
  7. SAPP akan berdiri sendiri menghadapi pru13 nanti..

    ReplyDelete
  8. keegoaan SAPP akan menyebabkan kejatuhan SAPP itu sendiri nanti..

    ReplyDelete
  9. adakah jika anwar jadi Pm malaysia, apa yang dituntut oleh SAPP akan ditunaikan?

    ReplyDelete
  10. pru13 makin hampir...undilah dengan bijak..

    ReplyDelete
  11. Minta maaf bukan boleh ubah apa yang sudah berlaku. Kalau Najib minta maaf, SAPP akan pertikaikan lagi. Spekulasi sana sini. Sama saja bohongnya.

    ReplyDelete
  12. Yong Teck Lee juga perlu memohon maaf kepada rakyat Sabah kerana beliau juga pernah menjadi sebahagian daripada BN dan pernah menjawat jawatan KM Sabah..

    ReplyDelete