KOTA KINABALU: Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak perlu memohon maaf secara khusus kepada rakyat Sabah atas banyak kesilapannya di sini, kata Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee.
Yong yang juga bekas Ketua Menteri, berkata Najib perlu memohon maaf kerana beliau mendakwa Kerajaan BN menyebabkan Sabah menjadi sebuah negeri miskin.
"Najib perlu untuk memohon maaf kepada rakyat Sabah kerana kita adalah negeri termiskin di Malaysia, kita mempunyai keadaan jalan yang teruk, kemudahan kesihatan yang buruk, dibanjiri pendatang tanpa izin dan tiada subsidi pengangkutan," katanya di booth khidmat SAPP di Pasar Minggu Jalan Gaya, di sini.
Beliau berkata Najib juga perlu memohon maaf kepada rakyat Sabah kerana beliau gagal mengumumkan sama ada suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah akan ditubuhkan atau tidak.
Turut hadir adalah Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun, Timbalan Presiden merangkap Adun Likas Datuk Liew Teck Chan, Timbalan Presiden Amde Sidik, Bendahari Agung Dullie Marie, Setiausaha Agung Datuk Richard Yong, Ketua Wanita merangkap Adun Luyang, Melanie Chia, Ketua Pemuda Edward Dagul, Ketua Penerangan Chong Pit Feh dan pemimpin parti lain.
Yong membuat gesaan itu susulan permohonan maaf Najib kepada rakyat di Baling, Kedah.
Najib menyatakan permohonan maaf itu kepada rakyat bagi pihak Barisan Nasional atas kesilapan yang menyebabkan pengundi menolaknya pada pilihan raya umum sebelum ini.
"Kami belajar dari kesilapan dan kami memohon maaf.
"Pemenang memohon maaf... dan yang kalah juga memohon maaf," kata Najib.