LABUAN: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee berkata parti itu akan bertanding dalam jumlah kerusi yang besar bagi Dewan Undangan Negeri Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Beliau berkata, parti itu juga telah membuat siri perbincangan dengan parti dari pihak pembangkang untuk menghadapi parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya yang bakal tiba tidak lama lagi.
"Untuk kerusi parlimen, kami tidak akan bertanding dalam jumlah yang besar atas kesepakatan dengan parti lawan BN yang lain. Kami mahu satu lawan satu dengan parti komponen BN" katanya pada sidang media di sini, Isnin lalu.
Apabila ditanya sama ada parti itu berminat untuk meletakkan calon di sini, Yong berkata setakat ini SAPP belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.
"Walau bagaimanapun, objektif kami di sini ialah untuk mengalahkan pihak BN dan kami akan menyokong parti lawan BN di sini dalam PRU akan datang," katanya.
Menyentuh isu cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan antara pulau ini dan Menumbok yang telah dibatalkan sebelum ini, Yong berkata pembatalan projek berkenaan satu tindakan yang mengecewakan penduduk Labuan.