LAHAD DATU: Timbalan Setiausaha Agung SAPP merangkap Pengerusi CLC Tungku Datu Shuaib Datu Mutalib meminta kerajaan Barisan Nasional supaya Felda dikembalikan kepada tujuan asal penubuhannya iaitu tanah-tanah yang dibangunkan oleh Felda dengan tanaman kelapa sawit di Felda Sahabat, Tungku diberikan hak milik kepada peneroka yang telah menjadi peneroka di Sahabat Tungku.
Perkara ini telah dipersetujui di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan supaya rakyat di Tungku yang tidak mempunyai tanah dan miskin diberi peluang untuk menjadi peneroka dan diberikan geran selepas 15 tahun atau 20 tahun menjadi peneroka dikawasan tersebut.
Tujuan tersebut tidak menjadi kenyataan seperti mana tujuan asalnya, malah Kerajaan Persekutuan tidak menunaikan perjanjian tersebut, tetapi telah menyerahkan Felda kepada sebuah anak syarikatnya Felda Holdings untuk disenaraikan di papan utama Bursa Saham Malaysia.
“Siapakah yang mendapat keuntungan dalam jual beli saham yang didagangkan?" tanya Datu Shuaib.
“Kalau dilihat kepada keluasan Felda Sahabat di Tungku iaitu 119,000 hektar dan hanya mempunyai 886 peneroka dengan 6.7 hektar setiap peneroka, dimanakah lebih kurang 110,000 hektar itu disalurkan?
“Malah pada Jun 2011, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menyatakan Felda tidak berhasrat untuk mengambil peneroka yang baru. Oleh ini milik siapakah selebihnya 110,000 hektar, yang tidak diberikan kepada peneroka yang baru?”
Beliau turut mempersoalkan pinjaman yang dibuat oleh Felda sebanyak RM 5 billion daripada EPF, kemudiannya disenaraikan oleh anak Syarikat Felda iaitu Felda Global Venture Holding (FGVH) di Bursa Saham, papan utama Malaysia.
“Parti Maju Sabah (SAPP) dalam dasar Reformasi Tanah yang dilancarkan baru-baru ini, telah menekankan perlunya generasi kedua Felda diberikan keutamaan sebagai peneroka generasi baru dan SAPP membantah sekeras-kerasnya langkah dan dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN terhadap Perkara ini.
Harian Ekspres
Rabu, 15 Februari 2012
M/s 6
No comments:
Post a Comment