Saturday, 28 January 2012

Kerajaan negeri tidak sepatutnya berdiam diri isu tanah Felda: SAPP

Larry Ralon
 
KOTA KINABALU: Parti Maju sabah (SAPP) berkata, sungguh menghairankan kenapa Kerajaan Negeri berdiam diri terhadap nasib 300,000 ekar tanah Negeri yang diuntukkan kepada Felda untuk dimajukan 20,000 peneroka dari Pantai Timur, sehingga memerlukan bekas Ketua Menteri Tan Sri Harris Salleh menimbulkan isu itu. 


Ketua Penerangannya, Chong Pit Fah berkata demikian sebagai mengulas laporan muka depan Daily Express yang menyebut Harris menggesa Kerajaan Persekutuan supaya jangan meneruskan penyenaraian Felda Holding, terutamanya yang melibatkan tanah Felda di Lahad Datu.

"Ia memerlukan Harris, seorang penyokong kuat Barisan Nasional (BN) mendedahkan perkara itu. Kenapa Kerajaan BN Negeri terus membisu terhadap perkara itu dan tidak mengambil tindakan segera terhadapnya, lebih-lebih lagi ia berkaitan tanah Negeri dan 20,000 peneroka?" katanya.

“Bagi saya , inilah kerajaan BN paling buruk di peringkat Persekutuan dan Negeri, kerana mereka kelihatan seperti mahu menjual segala-galanya. Sedangkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan pun merebut setiap kontrak dan perniagaan yang ada di negara ini, meninggalkan hampir tidak ada apa- apa untuk masyarakat niaga menjadi maju," katanya.

Beliau berkata, parti itu juga berse tuju dengan kebimbangan Harris bahawa dengan penyenaraian Felda dan sahamnya diniagakan dalam pasaran bermakna sesiapa sahaja boleh membeli termasuk rakyat asing dan tidak sepertinya rakyat Malaysia yang tidak bertanah, sambil berkata, parti itu juga khuatir ada individu tertentu dalam Umno yang berada di sebalik langkah penyenaraian itu untuk kepentingannya sendiri.

Langkah itu tidak ada kena mengena dengan memperkayakan Felda Holdings atau peneroka di bawahnya, cuma untuk kepentingan peribadi pemimpin-pemimpin tertentu di dalam Umno, katanya sambil berharap para peneroka berkenaan juga membantah langkah tersebut.

Harris dalam laporannya berkata, ramai yang merasakan langkah itu sebagai amat berbahaya daripada segi ekonomi dan menyebabkan rakyat Sabah, terutamanya bumiputera kehilangan tanah.

Fenduduk Sabah sudah kehilangan 906,303 ekar yang direzab untuk 60,000 penduduk yang tidak bertanah pada 1980-an, katanya.

“Harris juga mengingatkan bahawa objektif utama Kerajaan menguntukkan hampir 300,000 ekar kepada Felda adalah untuk Pembangunan ladang kelapa sawit bagi 20,000 peneroka dari Pantai Timur.

Harian Ekspres
Sabtu, 28 Januari 2012
M/s 2

No comments:

Post a Comment