Tuesday, 31 January 2012

Eric selar Tengku Adnan

KOTA KINABALU: Timbalan presiden SAPP, Datuk Eric Majimbun berkata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor bertindak memalukan apabila meminta dua Ahli Parlimen parti itu mengosongkan kerusi mereka.


"Ia adalah memalukan untuk meminta kami mengosongkan kerusi ketika pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

"Kalau dia ingat dia sangat berkuasa dan berpengaruh, beliau patut mengarahkan agar Kerajaan Negeri Perak dibubarkan apabila beberapa wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak keluar dan mengisytiharkan diri mereka sebagai anggota Bebas yang menyokong BN untuk membolehkan BN berkuasa di Perak," katanya.

Eric yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata demikian dalam satu sidang media di pejabatnya di Inanam kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai maklumbalas kepada Adnan yang meminta beliau dan Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Bui mengosongkan kerusi, semasa melancarkan jentera pilihan raya kawasan Parlimen Kalabakan baru-baru ini.

"Kalau mahu tahu siapa yang rakyat akan beri mandat, beliau patut arah Perdana Menteri membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13.

"Saya juga mencabar Adnan datang dan bertanding dengan saya di Sepanggar," katanya.

Menurutnya, sikap kasar dan besar kepala segelintir pempimpin Umno seperti Adnan itu hanya mendedahkan bahawa mereka mahu membuli rakyat negeri ini.

"Pemimpin BN terutamanya Umno dari kerajaan pusat cuba untuk membeli undi rakyat dengan memberikan wang RM100 tetapi ini hanya mengajar anak sekolah bahawa rasuah adalah budaya Malaysia.

"Kerajaan BN juga memberikan RM500 menerusi belanjawan dan pemimpin BN mengatakan bahawa ia tiada kena mengena dengan politik tetapi baucer itu diagihkan menerusi pemimpin politik BN" katanya.


"Bagaimanapun saya percaya rakyat negeri ini tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Saya yakin orang Sabah sedar dengan usaha BN dan Umno itu," katanya.

Di sebalik pelbagai taktik menghalang yang digunakan katanya, SAPP tidak khuatir dan tidak akan berganjak dari perjuangannya membela rakyat dan hak negeri ini.

Katanya, rakyat Sabah sendiri tahu penderitaan yang dialami dan masalah negeri ini yang gagal ditangani kerajaan pusat terutama masalah tanah adat dan kebanjiran pendatang tanpa izin.

"Apa yang Setiausaha Agung BN itu buat mengenai masalah peningkatan penduduk yang luar biasa di negeri ini. Peningkatan sebanyak 390 peratus penduduk negeri ini dalam tempoh 40 tahun boleh dianggap sebagai rekod dunia.

"Masalah ini juga sering disuarakan Pemimpin komponen BN lain tetapi tiada apa-apa tindakan drastik dari pemimpin pusat" katanya.

Beliau berkata, BN juga kini terdesak untuk terus kekal berkuasa dan meneruskan agenda tersendiri mereka.

"Memonopoli kekayaan dari negeri ini adalah agenda utama mereka..namakanlah apa saja aktiviti, perniagaan dan sebagainya terutama kontrak dan projek tanaman di mana kini ianya bukan lagi dimiliki orang Sabah.

"Hak Anak Negeri kita di bawah Ordinan Tanah juga semakin terhakis oleh Kuala Lumpur dengan bantuan beberapa pemimpin tempatan" katanya.

Utusan Borneo
Selasa, 31 Januari 2012
M/s A6

No comments:

Post a Comment