Friday, 16 December 2011

Perluasan Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) akan hakis autonomi Sabah

Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Langkah memperluas Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) ke Sabah akan menghakiskan lagi autonomi Negeri, kata Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Wong Yit Ming.

Beliau berkata, cadangan oleh MP DAP Kota Kinabalu Hiew King Cheu supaya akta itu yang dipinda di Parlimen baru-baru ini, diperluaskan ke Sabah tidak wajar dipertimbangkan kerana Sabah sudah mempunyai Enakmennya sendiri yang telah berjaya menangani pembangunan perumahan terbengkalai.

"Peluasan satu lagi undang-undang persekutuan tidak dapat membantu. Terdapat lebih banyak projek perumahan terbengkalai di semenanjung berbanding di Sabah dan Sabah mempunyai rekod kejayaannya sendiri dalam menghidupkan semula projek terbengkalai," katanya di sini Rabu.

Wong berkata, memperluaskan Akta itu ke Sabah juga akan menyebabkan kerajaan Negeri hilang kuasa terhadap pembangunan perumahan kerana segala-gala perlu melalui pihak berkuasa Persekutuan.

"Kita tidak mahu satu lagi undang-undang persekutuan mencerobohi Sabah. Para pemaju tempatan akan terpaksa mendapatkan lesen mereka dari Putrajaya," katanya.

Jika ada sebarang kelemahan dalam Enakmen Perumahan Sabah, kerajaan negeri boleh memperbaikinya, tidak perlulah bagi undang-undang persekutuan, katanya.

Beliau berkata, peluasan undang-undang persekutuan ke negeri ini telah terbukti tidak memberi manfaat sama seperti keputusan kerajaan memperluaskan Akta Peminjaman Wang ke Sabah.

"Dengan adanya Akta itu, kita dapat melihat semakin banyak syarikat memberi pinjaman wang yang diketahui mengenakan caj kadar faedah berlebihan wujud di Negeri ini.

"Kita mahukan set undang-undang yang boleh mengawal Ah Long-Ah Long ini dan bukannya menggalakkan kewujudan mereka," katanya.

Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966, yang dipinda untuk memberi lebih perlindungan kepada pembeli rumah dengan membolehkan prosiding jenayah diambil terhadap pemaju yang ingkar hanya harus dilaksanakan di semenanjung melihat kepada kes yang banyak berlaku di situ, katanya.

“Di Sabah undang-undang kita sudah mencukupi untuk menangani projek perumahan terbengkalai....projek perumahan persekutuan yang Hiew sebut sebagai terbengkalai di Sabah itu harus diajukan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan," katanya.

Harian Ekspres
Khamis, 16 Disember 2011
M/s 6

No comments:

Post a Comment