Thursday, 29 December 2011

Penduduk kecewa projek rumah lewat siap


Suzana Justin 

RANAU: Kelewatan penyiapan projek pembangunan perumahan melibatkan 154 unit rumah teres kos rendah dan 374 unit rumah teres kos sederhana di Taman Saujana Kinabalu di Kampung Badukan di sini, mencetuskan kekecewaan di kalangan pembelinya yang kebanyakkannya terdiri kakitangan kerajaan.

Naib Presiden SAPP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Pusat Kundasang, Japiril Suhaimin mendakwa, projek di bawah kendalian Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) itu sepatutnya sudah boleh diduduki pada tahun ini, namun projek tersebut hanya siap 50 peratus sahaja.

"Para pembeli rumah di Taman tersebut telah rnenunggu hampir empat tahun sejak perjanjian ditandatangani pada Febuari 2008 dan sepatutnya pada tahun ini mereka sudah boleh menduduk rumah-rumah tersebut.

"Namun setakat ini, masih banyak kerja-kerja yang tertangguh termasuk pembinaan jalan masuk, kerja-kerja bangunan, sistem bekalan air, elektrik dan pembentungan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Japiril mendakwa, kelewatan itu turut menyebabkan golongan pembeli yang membuat Pinjaman Perumahan Kerajaan terpaksa membayar balik pinjaman mereka melalui potongan gaji setiap bulan, manakala yang membuat pinjaman melalui bank pula terpaksa membayar faedah di atas pinjaman yang dibuat berdasarkan kerja-kerja yang telah siap. 

"Keadaan ini sudah tentu membebankan para pembeli terutamanya yang berpendapatan rendah," katanya.

Menurut Japiril lagi, beberapa orang pembeli yang sering berulang alik ke pejabat SPNB untuk merujuk masalah tersebut hanya diminta bersabar oleh kakitangan syarikat tersebut tanpa sebarang maklum balas yang positif.

"Berdasarkan pemerhatian saya, projek yang dijalankan tidak lancar dan tidak seperti dalam perjanjian. Kontraktor yang melaksanakan projek tersebut juga sering berganti, manakala rumput di kawasan tersebut sudah mula meninggi kerana tiada kerja-kerja yang sedang berjalan," tambah beliau.

Harian Ekspres
Khamis, 29 Disember 2011
M/s 6

1 comment:

  1. kami sdh lama menunggu untuk siap,tapi sampai sekarang pun masi belum siap..apa tindakan yang berkenaan.?

    ReplyDelete