Tuesday, 8 November 2011

SAPP sudah berulang kali beri amaran


KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) berkata, pihaknya telah berulang kali memberi amaran bahawa perancangan kereta api Sabah dilakukan secara tidak sempurna pada peringkat awal pembinaan semulanya.


Setiausaha Agung SAPP Datuk Richard Yong berkata, landasan kereta api sepanjang 134km dari Tanjung Aru ke Tenom itu nampaknya tidak mempunyai perancangan menyeluruh.


"Ia merupakan pengulangan kepada perkhidmatan kereta api yang telah berusia 40 tahun dengan sedikit peningkatan.


Kerajaan membelanjakan hampir RM400 juta dan apa yang kita dapat adalah sebuah lokomotif yang menjadi bahan ejekan para pelancong dan rakyat asing yang melihatnya.


"Ketika tempat-tempat lain di Malaysia menggunakan Monorel dan Kereta Api Transit Ringan (LRT), Sabah bukan sahaja tidak maju malah mengambil satu langkah jauh ke belakang," katanya dalam satu kenyataan di sini Sabtu.


Yong berkata, perbelanjaan itu dianggap satu pembaziran sekiranya ia menyebabkan lebih banyak ketidakselesaan berbanding kebaikan.


"la tidak nampak kemungkinan kemalangan. Ia tidak mempunyai langkah keselamatan yang secukupnya untuk menghalang kemalangan.. Ia kelihatan tidak mengambil kira kepadatan penduduk di Putatan khususnya.


"la tidak mengambil kira keadaan lalu lintas; risiko pejalan kaki, pemandu dan pelajar sekolah-sekolah berhampiran. Ia gagal melihat keperluan aksesibiliti ke kampung-kampung, sekolah, kediaman dan kawasan perniagaan dsb.


"la telah mengucar-kacirkan lalu lintas membuatkan perjalanan orang ramai semakin lembab sepanjang hari, membazirkan masa berjam-jam untuk ke tempat kerja dan pulang ke rumah di Putatan, Papar dan Beaufort," katanya.


Yong berkata, dengan itu, inisiatif Robert Mojolou yang memfail permohonan penangguhan bagi pengkajian semula kehakiman di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada Jumaat berhubung dengan hasrat kerajaan untuk menutup kesemua lintasan haram, sudah tentu akan membuka pemikiran kita mengenainya.


"Adakah kerajaan berfikiran yang langkah menutup kesemua lintasan haram itu merupakan penyelesaian kepada perkhidmatan kereta api yang bermasalah ini? Adakah kerajaan mengendalikan lintasan haram ini sama seperti mereka menangani masalah pendatang tanpa izin yang tidak selesai-selesai?" tanya beliau.


Harian Ekspres
Ahad, 06 November 2011
M/s 1

No comments:

Post a Comment