Friday, 4 November 2011

Henti sikap prejudis, Melanie beritahu Salleh

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Salleh Tun Said harus berhenti daripada bersikap prejudis mengenai isu Saham Amanah Sabah (SAS) dan tidak membenarkan dirinya daripada membuat sebarang keputusan mengenai usul yang bakal dikemukakan mengenai isu SAS pada sidang dewan yang akan datang atas alasan beliau adalah bekas Pengerusi SAS.

Ketua Wanita SAPP Melanie Chia, yang juga Adun Luyang berkata, Salleh juga adalah Timbalan ketua Menteri dan Menteri Kewangan semasa SAS dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada akhir 1994.

"Kita bukannya mencadangkan Salleh melakukan sesuatu yang salah… kita hanya mahu keadilan dilakukan dan kebenaran diketahui untuk faedah orang ramai," katanya pada Khamis.

Chia memberi alasan, jika Salleh membuat keputusan menentang usul mengenai SAS itu atau membenarkan usul itu “ditelan waktu" seperti apa yang berlaku pada persidangan pada April 2010, maka itu akan memperlihatkan yang keadilan tidak diberi terhadap kes ini.

"Orang ramai akan berpendapat yang terdapat sesuatu disembunyikan bagi pihak Speaker atau kerajaan, tambahnya.
 
“Salleh harus membiarkan para Menteri menjawab di Dewan jika tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan," kata Chia.

"Beliau masih belum melihat kandungan usul itu yang hendak saya bentangkan pada sidang akan datang. Apa jua yang kami bawa ke Dewan Negeri, ia adalah untuk kepentingan rakyat Sabah dan kerajaan yang memerintah harus ingat bahawa adalah menjadi tanggungjawab Dewan untuk memastikan kepentingan rakyat dilindungi," katanya.

Sementara itu, persoalan tentang Kertas Putih mengenai isu Saham Amanah Sabah harus diserahkan kepada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri untuk membuat keputusan.

Pengerusi CigMa Kumpulan Kepentingan Bersama), Daniel John Jambun berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Speaker Dewan Datuk Salleh Tun Said yang berkata terpulanglah kepada beliau untuk memutuskan sama ada hendak menerima usul Kertas Putih itu ataupun tidak.

"Dengan menyatakan yang ia terpulanglah kepada beliau, Salleh telah bersikap diktator dan tidak membenarkan ptoses itu berjalan dalam semangat ketelusan dan integriti. Mengikut nada kata-katanya itu kita sudah dapat mengagak yang beliau sudah merancang untuk mematikan usul yang akan dibuat oleh SAPP itu," kata Jambun.

"Kita faham yang speaker mempunyai kuasa untuk mengawal prosedur, termasuk siapa yang harus bercakap di dewan," katanya.

Tetapi dalam kes ini pertimbangan harus diberi kepada fakta yang isu SAS itu telah berlanjutan selama hampir 20 tahun tanpa sebarang jawapan jelas mengenai kerugian besar yang dialami

55,000 pelabur, katanya. Jambun juga mengingatkan bahawa isu itu harus diselesaikan dan cara terbaik adalah melalui Kertas Putih.

Harian Ekspres
Jumaat, 04 November 2011
M/s 2

No comments:

Post a Comment