Wednesday 19 October 2011

SAPP dakwa program basmi kemiskinan gagal capai matlamat

Chris Maskilone 
KOTA KINABALU: Pengakuan Ketua Menteri bahawa “kadar miskin tegar masih tinggi disebabkan sistem e-Kasih” menunjukkan program pembasmian kemiskinan di peringkat negeri dan persekutuan telah gagal.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee mendakwa, para pemimpin itu tidak fokus terhadap program pembasmian kemiskinan dan kumpulan sasar yang layak.
“Program E-Kasih” ini sepatutnya untuk membasmi kemiskinan tetapi sekarang Ketua Menteri menyalahkan sistem ini atas angka miskin tegar (4,657 orang), katanya dalam satu kenyataan disini pada Selasa.
“Kekeliruan ini memberi gambaran buruk kepada pentadbiran BN. Ini membuat kita tertanya-tanya apa yang sudah berlaku dengan Amanah Ikhtiar Malaysia dengan tabung RM236 juta dan Azam Niaga, Azam Khidmat, Azam Tani dan Azam Kerjanya.
“Terdapat juga KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) dan begitu banyak program mengelirukan yang terpaksa ditangani kakitangan awam,” katanya.
Awal tahun ini, Yong berkata, Menteri Persekutuan Datuk Sharizat Jalil mengumumkan terdapat 4,255 kes e-Kasih di Sabah daripada sejumlah 54,180 kes di seluruh negara.
“Ini bermakna kes miskin e-Kasih telah bertambah 400 kes tahun ini.
“Setakat akhir tahun lalu, ketua menteri mengistiharkan Tawau sebagai “Miskin Sifar” yang tidak ada sesiapapun mempercayainya kerana garis kemiskinan didefinisikan sebagai pendapatan keluarga RM540 dan miskin tegar RM270,” katanya.
“Untuk melihat kemiskinan di Tawau anda hanya perlu memandu disekitarnya itu.
“Penduduk asal yang dihalau dari tanah adat dan kampung tradisi mereka dalam rezab hutan diburu kemiskinan. Disember lalu, Bank Dunia mengistiharkan Sabah sebagai negeri paling miskin di Malaysia.
“Harga barang asas, pengangkutan dan sewa terus naik sementara pendapatan tidak berganjak. Belanjawan Negara 2012 tidak mengandungi apa-apa yang boleh merancakkan ekonomi. Sebaliknya, Perdana Menteri menaikan caruman KWSP sebanyak 1 peratus hingga 24 peratus yang tidak boleh digunakan oleh pekerja mahupun majikan,” katanya.
Belau menambah, kemiskinan tidak boleh dihapuskan dalam pejabat-pejabat berhawa dingin mengunakan komputer.
“Peperangan terhadap masalah kemiskinan memerlukan keseluruhan jentera kerajaan, pendidikan berkualiti untuk memecahkan kitaran kemiskinan, memperkasakan anak-anak muda melalui latihan kemahiran, meningkatkan produktiviti di luar bandar melalui pemilikan tanah dan jabatan-jabatan kerajaan untuk memudahkan bukan menghalang pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Harian Ekspres
Rabu, 19 Oktober 2011
M/s 1

No comments:

Post a Comment