Thursday 20 October 2011

SAPP dakwa DAP Sabah mahu gagalkan kerjasama dalam PR


KOTA KINABALU: DAP Sabah mahu menggagalkan kerjasama yang telah dipupuk oleh Pakatan Rakyat (PR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Bekas Timbalan Presidennya, Datuk Philip Yong berkata, malah pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berkata yang SAPP tidak perlu menyertai Pakatan asalkan kedua-duanya boleh mencari jalan untuk bekerjasama.

"Tetapi, nampaknya DAP (Sabah) tidak mahu kerjasama antara Pakatan dan SAPP terjalin kerana mereka fikir mereka boleh memenangi semua kerusi dan tidak mahu berkongsi dengan mana-mana parti lain," katanya.

Bekas MP Gaya itu berkata, beliau mendapati cara pemimpin DAP telah membuat pelbagai bentuk kenyataan menentang SAPP malah menuduh parti itu dan pemimpinnya Datuk Seri Yong Teck Lee memutarbelitkan fakta.

Tetapi faktanya, DAP Sabah dan naib pengerusinya Edward Ewol Mujie lah yang memutarbelitkan segala-galanya termasuk fakta seperti jumlah denda yang dikenakan ke atas Yong bagi kesalahan kecil pada perbarisan Hari Penamaan Calon 1990, katanya.

Philip berkata, Teck Lee bersama-sama empat yang lain ketika itu didenda RM1,000 dan bukannya RM1,999 seperti yang didakwa Mujie.

Menurut beliau, adalah menjadi bidang kuasa mahkamah untuk menentukan jumlah denda itu dan bagi seseorang penyandang wakil rakyat ia tidak mahu mengenakan hukuman lebih berat yang boleh membuatkan mereka digugurkan bagi mengelak pilihan raya kecil.

Beliau memberi contoh kes sama yang pernah dilalui oleh presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan MP Parti Keadilan Rakyat Tian Chua.

Philip berkata, Mujie berhak untuk menyatakan apa sahaja yaag ia suka tentang isu papan tanda. tetapi menambah, "apa kuasa yang ia ada untuk. menyatakan SAPP bersalah berkaitan papan tanda parti kami di ibu pejabat kami?" 

Katanya, kes iini dilengahkan dan ditangguhkan tetapi nampaknya Mujie bercakap seolah-olah beliau lebih tahu berbanding hakim.

"Agak malang kerana sikap sesetengah pemimpin DAP Sabah kelihatan seperti mereka memainkan peranan sebagai 'tukang pukul' BN terhadap parti tempatan seperti SAPP.

"Jika Mujie dan DAP Sabah mahu memperkecil-kecilkan Datuk Yong Teck Lee dan SAPP serta memutuskan hubungan pembangkang, adalah lebih baik bagi mereka untuk mencari isu lain dan jangan terus-menerus bercakap tentang sesuatu yang telah dijelaskan berulang kali.

"Mereka harus mendapatkan fakta yang betul kecuali jika mereka sengaja mahu menununjukkan kebodohan mereka," kata Philip. 

Harian Ekspres
Khamis, 20 Oktober 2011
M/s 1

No comments:

Post a Comment