Thursday, 8 September 2011

Penduduk Kg. Luanti Baru mahu hak keatas tanah

RANAU: Penduduk Kampung Luanti Baru hanya mampu menitiskan airmata apabila melihat hasil tanaman di atas tanah yang diteroka dan diusahakan mereka sejak tahun 1980an ditebang dan dimusnahkan begitu sahaja.

"Kami tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang pihak berkenaan menebang pokok buah-buahan yang kami tanam sekian lama di atas tanah yang sepatutnya menjadi hak kami," kata para penduduk kampung itu yang kecewa apabila penantian lebih sepuluh tahun untuk mendapatkan geran ke atas tanah seluas 250 hektar di kampung itu tidak diberi perhatian sehingga kini.

Ketua Kampung Rosliah Manjangki berkata, sebelum ini pernah disiarkan di beberapa buah akhbar tempatan, namun ia langsung tidak membuka mata mana-mana pihak untuk membantu membela nasib mereka.

"Kami merasakan seperti jabatan yang kami sandarkan harapan tidak memberi perhatian kepada masalah kami.

"Sudah lebih sepuluh tahun permohonan geran tanah ini kami ajukan namun sehingga kini belum ada jawapan positif yang diterima selain jawapan berulang iaitu "tunggu"," katanya kepada Harian Ekspres.

Akhbar ini sebelum ini pernah menyiarkan keluhan penduduk kampung tersebut yang hampa apabila tanah yang dipohon dan disahkan terlebih dahulu milik penduduk kampung itu didakwa dirampas oleh pihak kedua.

Malah lebih mengejutkan apabila kakitangan Jabatan Tanah dan Ukur memberi alasan bahawa mesin pencetak geran tanah rosak menyebabkan geran mereka tidak dapat dikeluarkan.

"Alasan itu langsung tidak masuk akal," tegas Rosliah yang turut mempersoalkan bagaimana pihak kedua dalam masa yang singkat iaitu sekitar tiga bulan sahaja dengan mudah mendapat geran ke atas tanah itu berbanding penduduk yang berusaha keras dan mengambil masa yang lama untuk berurusan dengan jabatan berkaitan.

Menurut Rosliah, baru-baru ini beliau bersama penduduk telah merujuk perkembangan tanah mereka dengan pihak yang berkaitan di daerah ini, namun amat mengelirukan apabila kakitangan jabatan tersebut memberitahu fail yang memuatkan dokumen penduduk itu tidak dijumpai.

"Keadaan ini jelas menunjukkan rayuan kami selama lebih 10 tahun langsung tidak dihiraukan dan diberi perhatian oleh pihak tersebut," katanya.

Pihaknya bercadang untuk memajukan perkara tersebut kepada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur dan SPRM di Kota Kinabalu untuk mendapat penjelasan yang lebih lanjut serta menyiasat masalah tersebut.

Para penduduk di kampung itu merayu dan memohon kepada jabatan berkaitan serta wakil rakyat untuk membantu mereka dalam mendapatkan titik penyelesaian terhadap masalah tersebut.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Pemungut Hasil dan Tanah Daerah ketika ditemui berkata, pihaknya telah membuat semakan dan siasatan lengkap berkenaan masalah yang dikemukakan oleh penduduk kampung tersebut dan akan menghantar hasil siasatan kepada Jabatan Tanah dan Ukur di Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

Jurucakap itu menasihati penduduk kampung yang terlibat agar sentiasa membuat susulan terhadap permohonan mereka dengan Jabatan Tanah dan Ukur di Kota Kinabalu.

Harian Ekspres
Khamis 8 September 2011
M/s 2

No comments:

Post a Comment