Sunday, 14 August 2011

SAPP janji rakyat dapat tanah melalui Reformasi Tanah

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) bertekad melaksanakan reformasi tanah dengan memberikan tanah adat kepada rakyat tempatan.

Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, reformasi tanah itu akan dilaksanakan dengan segera sebaik sahaja parti itu mengambil alih pucuk pimpinan Kerajaan Sabah selepas pilihanraya umu kali ke-13 akan datang.

"Sebaik sahaja SAPP menjadi kerajaan nanti satu reformasi tanah akan dilaksanakan di mana tanah-tanah adat akan diberikan hanya kepada penduduk tempatan sahaja.

"Ini untuk mengelakkan para penduduk tempatan kehilangan tanah yang telah mereka duduki sejak bergenerasi lalu," katanya disambut dengan tepukan gemuruh daripada ramai para penduduk di Kampung Cenderamata II, Likas, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis penyampaian Ole-Ole Hari Raya Aidilfitri itu ialah tiga Timbalan Presiden SAPP Amde Sidik, Datuk Liew Teck Chan dan Datuk Eric Majimbun, Pengerusi Penganjur Awang Talip, Setiausaha Agung Datuk Richard Yong, Naib Presiden Dullie Marie, Penolong Setiausaha Agung Suaib Mutalib, Jaafar Ismail, Datuk Dr. Chua Soon Bui, Datuk Frankie Chong, Ketua Penerangan Chong Pit Fah, Ketua Wanita Melanie Chia, Ketua Pemuda Edward Dagul, Ahli Majlis Tertinggi Japiril Suhaimin, Jamain Sarudin, Philicica Tong, Pengerusi Penganjur majlis Mulkaseh Haji Renda dan lain lain.

Katanya, reformasi tanah itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan kerana ketika beliau menjadi Ketua Menteri dari 1996-1998, beribu-beribu geran tanah telah diberikan kepada rakyat.

Beliau berkata, Kampung Cenderamata II itu kini menjadi Kampung Reserve (Kampung Simpanan) hasil usaha beliau dan para penduduk kampung membangunkan semula kawasan itu yang telah hampir musnah akibat kebakaran besar pada 1997.

Teck Lee berkata, pentadbiran Kerajaan Sabah pada masa ini memperlihatkan banyak kes dimana para penduduk tempatan kehilangan tanah yang telah lama mereka duduki kepada syarikat-syarikat swasta.
Katanya, kes seperti itu banyak berlaku terutamanya di daerah seperti Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Keningau, Kudat dan Kota Belud.

"Satu kes berlaku di Sukau Sandakan dimana penduduk asal di kawasan itu kehilangan tanah yangtelah beberapa generasi mereka duduki kepada syarikat swasta. Lebih menyedihkan ialah mahkamah telah mengarahkan mereka menjalani hukuman penjara kerana menceroboh.

"Para penduduk malang itu bakal menjalani hukuman penjara itu bermula dari 12 September iaitu dua minggu selepas kita merayakan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Teck Lee berkata, kes seperti itu berlaku kerana para pemimpin Kerajaan Sabah pada hari ini sangat rakus sehingga sanggup mengabaikan kebajikan rakyat tempatan.

1 comment:

  1. Perjanjian yang sangat baik, ia adalah satu daripada kontrak social di antara parti dengan rakyat. rakyat sepatutnya merebut peluang ini dengan menerima kontrak social yang ditawarkan oleh SAPP, satu2nya sahaja berbanding parti lain..syabas SAPP

    ReplyDelete