Oleh Jainudin Nasir (jainudin5709@gmail.com)
LEBIH seribu penduduk dari empat buah kampung di Ranau berterima kasih kepada kerajaan khususnya pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kerana melaksanakan projek pemasangan tiang seterusnya pendawaian elektrik hampir ke setiap rumah kediaman penduduk.
Bagaimanapun, penduduk di Kampung Tinutuan, Tarawas, Pinawantai dan Pahu merasa kesal kerana mereka belum berkesempatan menikmati bekalan tenaga elektrik sehingga hari ini.
Penduduk mendakwa proses penyiapan pendawaian setiap rumah telah selesai sejak akhir tahun lepas namun hasrat untuk menggunakan bekalan tenaga elektrik belum menjadi kenyataan.
“Kami memohon kepada pihak SESB supaya membuat penyambungan bekalan ke setiap rumah untuk kemudahan penduduk terutama anak-anak kami yang mengulangkali pelajaran di rumah," kata salah seorang penduduk, Jalius Sariman, sambil menambah mereka masih lagi menggunakan lampu minyak tanah.
"Kami amat mengharapkan pelaksanaan penyambungan bekalan elektrik itu sebagai salah satu kemudahan anak-anak terutama yang mempunyai komputer riba" kata Dalius, salah seorang penduduk Kg Tinutuan.
Mereka yang beragama Islam juga turut menyarankan kepada pihak berwajib supaya menjadikan bekalan elektrik itu sebagai satu keutamaan untuk dinikmati penduduk terutama menjelang sambutan perayaan Hari Raya nanti.
Sementara itu, SESB Ranau ketika dihubungi rnemberitahu pihaknya masih menunggu permohonan daripada kontraktor yang melaksanakan pemasangan tiang dan pendawaian ke rumah kediaman penduduk di perkampungan yang terlibat.
Utusan Borneo
Rabu 3hb Ogos 2011
M/s B7
No comments:
Post a Comment