Tuesday, 26 July 2011

Disaman walau sudah ada kebenaran, peniaga mohon surat rasmi

TAWAU: Walaupun persetujuan lisan telah diberi kepada para peniaga di aras bawah Pasaraya Plaza, Jalan Pantai di sini menggunakan ruang dua kaki luas di hadapan premis masing-masing, namun mereka masih disaman oleh penguat krusa Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Difahamkan sebelum ini, Presiden MPT Ismail Mayakob, sendiri secara lisan memberi kebenaran kepada para peniaga terbabit menggunakan ruang kaki lima di seluas dua kaki di hadapan premis mereka.

Bagaimanapun, tindakan penguatkuasa MPT mengeluarkan surat saman kepada mereka mendorong para peniaga terbabit merayu supaya satu surat rasmi dikeluarkan oleh pihak MPT bagi mengelak masalah serupa berterusan. 

Salah seorang peniaga yang ditemui, Pau Chee Fut, 43, berkata sebelum ini dia pernah disaman sebanyak RM250 (diskaun RM150) kerana mempamerkan barangan di hadapan premisnya walaupun pada rnasa itu persetujuan lisan telah diberikan oleh Presiden MPT.

"Saya diberitahu yang tiada kebenaran dikeluarkan kepada kami di Pasaraya Plaza untuk mempamerkan barangan jualan di laluan pejalan kaki. Saya juga diminta melunaskan saman dalam tempoh seminggu iika tidak mahu dibawa masuk ke mahkamah,”  katanya.

Menurutnya, jika boleh beliau dan peniaga  yang lain di kawasan itu mahu menggunakan ruang sehingga lima kaki di hadapan premis mereka kerana masih terdapat baki 15 kaki ruangan untuk pejalan kaki walaupun setelah ruang lima kaki digunakan.

"Dengan 15 kaki itu, satu treler pun boleh lalu. Tapi kenapa kami hanya dibenarkan menggunakan dua kaki sahaja sedangkan premis-premis lain di Tawau boleh (dibenarkan)," katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Bui yang menemui para peniaga di situ, memberitahu bahawa beliau dimaklumkan secara lisan pada 7Julai 2011 bahawa MPT telah memberikan kebenaran untuk menggunakan dua kaki ruang di hadapan premis peniaga terbabit.

"Saya akan menulis surat kepada Presiden MPT bagi mendapatkan surat rasmi sebagai jaminan hitam putih tentang perkara ini agar penguatkuasa MPT dapat dimaklumkan,” katanya.

Chua turut mengakui situasi yang dialami oleh para peniaga di kawasan itu sebagai pelik kerana di daerah lain tidak wujud hal sedemikian dan beliau menyifatkan perkara tersebut sebagai tidak adil kepada pihak peniaga.

Utusan Borneo
Selasa, 26 Julai 2011
M/s A3

No comments:

Post a Comment