Lagatah Toyos
TAWAU: Masih ramai pihak yang jahil tentang pelbagai isu perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar, termasuklah isu hutan asli di Sabah yang hanya tinggal 15 peratus sahaja.
Sehubungan itu, tema 'Kita Boleh Menyelamatkan Bumi Kita' pada sambutan Hari Peringatan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) cawangan Tawau, dilihat amat penting dan bermakna dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat, khususnya golongan muda.
Pengerusi PPPM Tawau Datuk Chua Soon Bui berkata, pengetahuan dan nilai-nilai perlindungan serta pemuliharaan alam sekitar penting untuk diterapkan di kalangan murid-murid sekolah sejak awal lagi.
Tambahan pula, katanya, isu-isu alam sekitar telah menjadi isu mustahak yang menjadi topik perbincangan di antara negara-negara di seluruh dunia.
"Anak-anak kita selaku bakal kepimpinan negara satu hari nanti harus menyedari hakikat bahawa tanggungjawab melindungi alam sekitar bukan hanya terletak di tangan pihak berkuasa semata-mata.
"Mereka sendiri harus berusaha bersungguh-sungguh memupuk dan menyebarkan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat di samping mengamalkan gaya hidup sihat dan mesra alam," katanya.