Showing posts with label Isu Tanah-Ranau. Show all posts
Showing posts with label Isu Tanah-Ranau. Show all posts

Monday, 12 December 2011

SAPP jamin selesai isu tanah jika diberi mandat

Suzana Justin

RANAU: Parti Maju Sabah (SAPP) memberi jaminan untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah di negeri ini dalam tempoh dua tahun, sekiranya parti itu mendapat mandat membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang.

Naib Presidennya, Japiril Suhaimin berkata, janji itu telah dibuktikan sendiri oleh Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee semasa beliau memegang jawatan Ketua Menteri yang mana dalam tempoh dua tahun pada 1996 hingga 1998, sejumlah 48 ribu permohonan tanah telah diberikan geran Anak Negeri (NT).

“Masalah pemilikan tanah khususnya di kalangan pribumi di negeri ini sudah terlalu lama dan seperti tidak akan menemui noktah penyelesaiannya yang akan terus membebankan rakyat di negeri ini.

"Permohonan tanah rakyat perlu diselesaikan kerana hanya dengan cara itu yang mampu membantu mereka untuk mendapatkan bantuan kerajaan, terutamanya mereka yang berhasrat untuk menggunakan tanah tersebut untuk tujuan pertanian bagi mengubah corak kehidupan dan meningkatkan ekonomi khususnya di luar bandar," tegas beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa kerajaan untuk melakukan sesuatu dan mempercepatkan proses pengeluaran geran bagi mereka yang layak.

Japiril berkata demikian bagi merujuk kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Ebin berkaitan masalah utama pekebun kecil yang sukar untuk mendapatkan bantuan kerajaan disebabkan masalah status hak milik tanah kerana hanya pekebun kecil yang mempunyai geran tanah sahaja yang layak untuk menerima bantuan daripada Lembaga Sawit Malaysia (MPOB).

Selaras dengan itu, SAPP menurutnya akan membuktikan bahawa Dasar Refomasi Tanah yang telah dilancarkan oleh parti itu pada 08 November lalu di Kota Kinabalu bukan hanya gimik politik semata-mata tetapi merupakan satu hasrat untuk membantu dan mengubah nasib rakyat di negeri ini.

Harian Ekspres
Isnin, 12 Disember 2011
M/s 6

Thursday, 8 September 2011

Penduduk Kg. Luanti Baru mahu hak keatas tanah

RANAU: Penduduk Kampung Luanti Baru hanya mampu menitiskan airmata apabila melihat hasil tanaman di atas tanah yang diteroka dan diusahakan mereka sejak tahun 1980an ditebang dan dimusnahkan begitu sahaja.

"Kami tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang pihak berkenaan menebang pokok buah-buahan yang kami tanam sekian lama di atas tanah yang sepatutnya menjadi hak kami," kata para penduduk kampung itu yang kecewa apabila penantian lebih sepuluh tahun untuk mendapatkan geran ke atas tanah seluas 250 hektar di kampung itu tidak diberi perhatian sehingga kini.

Ketua Kampung Rosliah Manjangki berkata, sebelum ini pernah disiarkan di beberapa buah akhbar tempatan, namun ia langsung tidak membuka mata mana-mana pihak untuk membantu membela nasib mereka.

"Kami merasakan seperti jabatan yang kami sandarkan harapan tidak memberi perhatian kepada masalah kami.

"Sudah lebih sepuluh tahun permohonan geran tanah ini kami ajukan namun sehingga kini belum ada jawapan positif yang diterima selain jawapan berulang iaitu "tunggu"," katanya kepada Harian Ekspres.