Wednesday, 1 February 2012

Tengku Adnan bersikap dwistandard: Chua

Lagatah Toyos

TAWAU: Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Bui terkejut dengan kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor yang meminta beliau dan Datuk Eric Majimbun (MP Sepanggar) meletak jawatan dengan berkata MP-MP tersebut memenangi kerusi itu atas tiket BN.


Chua yang juga naib presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata, veteran Umno itu nampaknya jahil tentang undang-undang bahawa apabila seseorang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri meletak jawatan orang itu tidak dibenarkan bertanding dalam masa lima tahun berikutnya.

“Jika tujuan beliau hanya untuk menguji sokongan rakyat terhadap SAPP, maka beliau tidak seharusnya memilih untuk bersikap jahil terhadap undang-undang sedia ada atau sama ada beliau tidak tahu mengenainya atau adakah beliau memperkecil-kecilkan kebijaksanaan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis. 

Katanya, Tengku Adnan juga nampaknya telah lupa tentang empat bekas anggota parlimen PR yang keluar daripada PKR dan PAS untuk menjadi MP bebas, dengan memihak kepada BN, sekiranya prinsip yang sama diamalkan, kenapa tidak meminta mereka meletak jawatan kerana mereka telah memenangi kerusi itu atas tiket Pakatan.

"Saya ingin tahu daripada Tengku Adnan kenapa beliau tidak cadangkan pembubaran dewan undangan negeri Perak apabila beberapa orang Adun PR menyertai BN untuk membentuk kerajaan negeri BN yang baharu,.. sebagai seorang ahli politik veteran yang dihormati, kenapakah beliau menunjukkan dwistandard terhadap peraturan undang-undang dalam proses demokrasi?" tanyanya.

Chui berkata, bukan baru kemarin SAPP meninggalkan gabungan memerintah BN. Tengku Adnan sebagai setiausaha agung Umno harus tahu kenapa SAPP memilih untuk meninggalkan BN pada 18 September 2008, setelah bosan dengan politik kawalan KL dan memihak kepada Pakatan dengan harapan wujudnya lembaran baharu politik dalam politik sabah dah berlaku perubahan dalam kerajaan persekutuan untuk sesuatu yang lebih baik untuk Sabah.


Chua berkata, SAPP juga menyokong memorandum lapan perkara partinya itu - yang menyentuh mengenai kedaulatan Sabah diancam oleh kehadiran beratus-ratus ribu pendatang tanpa izin, sekarang ini ramai daripadanya mendapat kewarganegaraan melalui cara yang meragukan serta mengubah landskap politik Sabah.

SAPP juga telah mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin melalui kempen tandatangannya, kenapakah Tengku Adnan memilih untuk membisu terhadap perkara ini?

"Pengabaian kerajaan Persekutuan terhadap penduduk di sabah telah menyebabkan mereka miskin daripada segi ekonomi yang kemudian disahkan oleh Bank Dunia bahawa Sabah adalah negeri termiskin di Malaysia walaupun kaya dengan sumber aslinya," kata beliau.

Chua kesal kerana Tengku Adnan membuat kenyataan kebudak-budakan seperti itu.

"Sepatutnya beliau harus lebih prihatin terhadap masalah gangguan bekalan elektrik yang berlanjutan di Tawau, ganguan bekalan air sejak Tahun Baharu Cina hingga sekarang, kekurangan doktor kanan dan pakar, bekalan perubatan dan peralatan yang tidak mencukupi, keadaan jalan yang uzur, kos hidup dan barangan yang tinggi berbanding semenanjung Malaysia, lebih 800 kes kehilangan tanah adat anak negeri yang dilapor kepada Suhakam dan banyak lagi," tegas beliau.

Harian Ekspres
Rabu, 1 Febuari 2012
M/s 3

No comments:

Post a Comment