Ramai sokong wakil Gerakan tidak dicalonkan di Sabah
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Ramond Tan tersalah anggap kebenaran sebagai "kasar serta tidak mesra" apabila menjawab kritikan daripada rakan-rakan Barisan Nasional (BN)nya bahawa partinya, Gerakan tidak relevan dan tidak harus meletakkan calon di Sabah.
Ketua Penerangan Parti Maju Sabah (SAPP) Chong Pit Fah berkata, sebenarnya Tan dan Adun Elopura, Au Kam Wah, Yang menyertai Gerakan selepas keluar daripada SAPP apabila Parti itu meninggalkan BN Pada 17 September, 2008, sudah tidak lagi dihormati oleh rakan-rakan BN mereka.
"Memandangkan sekarang ini Tan dan Au sudah tidak lagi dihormati oleh rakan-rakan BN mereka, maka satu-satunya tindakan terhormat yang perlu mereka lakukan adalah meletak jawatan daripada semua jawatan kerajaan yang mereka pegang dengan serta merta, kata Chong dalam satu kenyataan disini Selasa.
Tan juga seorang Timbalan Ketua Menteri apabila beliau menjadi timbalan presiden SAPP sebelum SAPP keluar daripada BN, sementara Au adalah Ketua Pemuda SAPP. Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak bersetuju dengan keputusan kepimpinan SAPP untuk keluar daripada kerajaan BN Yang memerintah.
Selepas beberapa bulan kehilangan pengaruh Politik, Tan dan Au membuat keputusan untuk menyertai Gerakan, memberikan kepada parti yang berpusat di semenanjung itu, dua buah kerusi negeri.
Tan kemudian dilantik sebagai salah seorang naib presiden. Gerakan "dihadiahkan" kerusi negeri ketiganya apabila bekas naib presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Peter Pang, yang ketika itu juga seorang Timbalan Ketua Menteri (menggantikan Tan) keluar daripada partinya setelah tidak bersetuju dengan pendirian menentang Ketua Menteri.
Prospek Gerakan diberi tiga kerusi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang telah menerima maklum balas negatif dari dalam BN sendiri.
Ia bermula dengan Mp Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh yang semasa membahaskan Belanjawan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menimbang untuk tidak meletakkan calon daripada Gerakan di Sabah pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, telah terbukti pada pilihan raya lalu yang Gerakan telah ditolak oleh penduduk di Semenanjung dan apa lagi di Sabah, sekiranya ia bertanding di Negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-13. 
Sentimen beliau dikongsi oleh bekas MP Libaran Akbar Khan Abdul Rahman yang berkata, kepimpinan BN negeri harus menimbang pandangan Ghapur itu kerana ia datang daripada akar umbi.
Kemudian, LDP turut menyokong berkata "walaupun kebenaran itu agak pahit" pucuk pimpinan harus menimbang bahawa calon-calon boleh menang perlu datang dari parti politik yang boleh menang.
Pemimpin BN yang lain seperti ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Lajim Ukin dan Presiden parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup memberi pandangan serupa dan berkata sudah terlalu banyak parti politik di Sabah dan Gerakan, sebaliknya harus menumpukan perhatian untuk memenangi semula kerusi-kerusi mereka di Semenanjung Malaysia. 
Tan yang bercakap buat pertama kalinya mengenai perkara itu menggesa para pemimpin komponen BN "supaya berhenti daripada menggunakan kata-kata kesat terhadap partinya”.
Beliau dilaporkan sebagai berkata yang partinya tidak mahu terlihat dalam perdebatan mengenai isu itu dan lebih suka  menyuarakannya semasa mesyuarat BN tetapi beliau khuatir tentang imej Gerakan.
"Gerakan Sabah sudah menunjukkan yang ia mempunyai pemimpin yang baik. Kami hanya meminta peluang sama seperti parti komponen BN yang lain untuk bertanding bagi mempertahankan BN di Sabah.
Tan terus menjadi anggota Kabinet Negeri tetapi terpaksa melepaskan jawatan Timbalan Ketua Menterinya (bagi kuota Cina) apabila dia menyertai Gerakan.
Harian Ekspres
Rabu, 26 Oktober 2011 
M/s 1-2
 
No comments:
Post a Comment