Suzana Justin
RANAU: Lebih 300 penduduk di Kampung Minihas kecewa apabila jambatan, yang menjadi laluan utama mereka, hanya dibaiki ala kadar oleh pihak yang bertanggung-jawab.
Timbalan JKKK kampung, Jamisin Sairin, 46, berkata kegembiraan penduduk melihat kerja-kerja pembaikan jambatan itu berubah kepada kekecewaan setelah mendapati cuma beberapa bahagian jambatan itu diganti, manakala sebahagian besar tidak dibaiki dan boleh membahayakan penduduk.
Akhbar ini, sebelum ini, pernah menyiarkan keluhan penduduk yang bimbang akan keselamatan mereka setiap kali melalui jambatan kayu setinggi 20 kaki yang telah reput dan tidak selamat ketika menyeberangi Sungai Lohan.
Menurut Jamisin, kerja-kerja membaiki yang dilakukan pada Ogos lalu hanya melibatkan pengantian kayu pada beberapa bahagian lantai jambatan dan penampalan di beberapa bahagian lain yang langsung tidak memberi jaminan kepada keselamatan penduduk.
"Kenapa hanya bahagian lantai yang diganti?...sedangkan nyata hampir keseluruhan jambatan ini sudah reput termasuk gelegar dan palang jambatan yang hanya menunggu masa untuk runtuh,"
"Walaupun beberapa lantai jambatan telah diganti namun ia jelas tidak menyelesaikan masalah utama kami kerana kayu yang digunakan untuk menggantikan lantai lama itu kini turut retak," katanya.
Pada satu peringkat, katanya sebuah pacuan empat roda yang melalui jambatan setelah kerja-kerja membaiki siap, hampir terjunam ke dalam sungai apabila tayarnya terperangkap di celah-celah kayu jambatan yang reput.
Tambahnya, walaupu terdapat jalan alternatif yang dibina penduduk kampung, namun, ia hanya boleh dilalui oleh kenderaan jenis pacuan empat roda dan sukar untuk dilalui apabila tiba musim hujan.
Sehubungan dengan itu, penduduk kampung memohon agar pembaikan sepenuhnya dilakukan menggunakan kayu yang berkualiti atau digantikan dengan jambatan konkrit yang lebih tahan lama berbanding menggunakan bahan murah berkualiti rendah yang memerlukan pembaikan berulang dan hanya membazirkan wang rakyat.
Selain berhadapan masalah jambatan reput, penduduk di kampung tersebut turut memohon kepada kerajaan untuk menaiktaraf jalan raya sejauh dua kilometer di kampung itu yang tidak sempurna dan hanya pernah diselenggara sekali sehingga kini.
"Kedua-dua kemudahan infrastruktur ini amat pentig kepada penduduk sebagai laluan utama keluar masuk dan membawa hasil pertanian untuk dijual ke pekan," jelas Jamisin.
Justeru itu, penduduk kampung tersebut amat mengharapkan keprihatinan dan menyandarkan harapan kepada pihak-pihak yang berkenaan termasuk Ahli Parlimen dan Adun di kawasan tersebut serti Pejabat Daerah untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah mereka.
Harian Ekspres
Selasa, 20 September 2011 
M/s 7
 
No comments:
Post a Comment