KOTA KINABALU: Wakil rakyat dialu-alukan untuk memberi maklumat yang berkaitan dengan perkara kewarganegaraan khususnya masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah Ismail Ahmad berkata, ini adalah satu cara yang sesuai bagi pihak jabatan dan parti politik bekerjasama dalam menyelesaikan isu-isu yang timbul mengenai perkara yang sering dipolitikkan.
“Wakil rakyat parti-parti politik yang dekat dengan rakyat mampu membantu JPN mengenal pasti individu yang masih belum mendapatkan sijil kelahiran atau MyKad.
"Kami menganggarkan terdapat kira-kira 20,000 orang yang belum mendapat dokumen pengenalan yang sah. Kami peraya ahli-ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri boleh mengenal pasti dengan lebih terperinci" katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat oleh Biro Kewarganegaraan Parti Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) di sini kelmarin.
Biro itu diketuai oleh Ketua Penerangan Upko, Datuk Donald Mojuntin, yang juga Penolong Menteri Kewangan.
Ismail berkata, JPN negeri sedar masalah rakyat di kawasan pedalaman yang terpaksa mengambil masa lama untuk sampai ke pejabat JPN terdekat. Oleh itu, satu unit mudah alih telah ditubuhkan untuk mendekati masyarakat pendalaman.
Beliau berkata, unit ini akan membuat lawatan berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pejabat wakil rakyat atau Pihak berkuasa tempatan.
Apabila ditanya oleh pemberita mengenai isu pengundi hantu dalam daftar pemilih, Ismail berkata nama-nama rakyat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya adalah tulen dan berdasarkan pendaftaran JPN.
Bagaimanapun, beliau berkata walaupun jabatan itu bekerja rapat dengan SPR untuk menghapuskan senarai pengundi yang telah meninggal dunia, mereka masih menghadapi masalah kematian yang tidak didaftarkan.
Beliau menggesa rakyat, terutamanya ahli keluarga si mati serta ketua-ketua kampung, untuk tampil mendaftarkan kematian orang kampung masing- masing.
Sementara itu, Donald berterima kasih kepada Pihak JPN yang telah melantik Ismail sebagai pengarah kerana beliau adalah orang Sabah dan faham akan masalah negeri ini.
Katanya, sejak kerjasama yang diadakan antara bironya dan JPN, sudah beberapa kes dapat diselesaikan.
Utusan Borneo 
Rabu 3hb Ogos 2011 
M/s A3
 
No comments:
Post a Comment