Wednesday, 1 February 2012

Bicara kes tuntutan SAPP didengar 9 Mac

Jo Ann Mool

KOTA KINABALU: Kes tuntutan oleh Parti Maju Sabah (SAPP) terhadap Mayor kerana cuba mengalihkan papan tanda Sabahtv.net milik parti itu di ibu pejabatnya di Bornion Centre, Luyang tahun lepas akan didengar pada 9 Mac.


Hakim Mahkamah Tinggl Datuk David Wong menetapkan tarikh itu ketika tuntutan itu dikemukakan untuk pengurusan kes pada Selasa.

Setiausaha Agung SAPP Datuk Richard Yong We Kong, bagi pihak parti itu memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Mayor pada 22 Julai, 2011 kerana cuba mengalihkan papan tanda itu pada 9 dan 11 Julai, tahun yang sama.

Plaintif mendakwa langkah DBKK dalam mengalihkan papan tanda itu adalah mala fide , bermotif politik dan bertujuan untuk mencemari reputasi dan imej parti itu.

Parti itu menuntut deklarasi bahawa Undang-Undang Kecil No. 3(1) dan 4 Undang-Undang Kecil Majlis perbandaran Kota Kinabalu (Pengiklanan) 1983 (Undang-Undang Kecil Pengiklanan) tidak boleh digunapakai ke atas mereka kerana mereka bukan entiti komersil.

Parti itu juga menuntut notis kedua yang dikeluarkan oleh defendan bertarikh 11 Julai, 2011 adalah mala fide dan salah dan oleh itu, terbatal dan tidak sah.

Parti tersebut juga menuntut deklarasi bahawa mereka berhak untuk memaparkan Papan Tanda No. 2 (Sabahtv.net) di premisnya sendiri dan deklarasi lanjut bahawa mereka berhak untuk memaparkan sebarang papan tanda bergantung kepada tanggungjawab defendan untuk membuktikan bahawa papan tanda itu menimbulkan bahaya dan/ atau mengandungi kata-kata atau bahasa yang dilarang oleh undang-undang Malaysia.

Peguam Ken Yong dan Peter Marajin hadir untuk plaintif sementara Peguam Kanan Negeri Hanafiah Kasim mewakili Mayor.

Harian Ekspres
Rabu, 1 Febuari 2012
M/s 5

No comments:

Post a Comment