Monday, 19 December 2011

Monopoli korek pasir ada motif tersembunyi: SAPP

Chris Maskilone
 
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Maju Sabah (SAPP) Chong Pit Fah mendakwa keputusan Kerajaan Negeri untuk memberi monopoli mengorek pasir sungai di Negeri ini kepada salah sebuah anak syarikatnya Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) mempunyai motif tersembunyi.

Beliau mendakwa ramai pihak berpendapat bahawa keputusan tersebut akan memberi manfaat kepada sekelompok orang yang menjadi kroni kepada mereka yang memegang kuasa.

Beliau turut berkata beliau mempunyai bukti yang mencukupi untuk menyokong pandangan itu.

"Seperti yang kita semua tahu, pasir sungai adalah komoditi perlu dalam industri binaan, dan sukar untuk diperolehi sekarang disebabkan oleh kuantitinya yang semakin sedekit, di sampung kawalan ketat oleh Jabatan Pemuliharaan Alam Sekitar Negeri. Oleh itu, harganya melonjak naik secara drastik sejak tahun kebelakangan ini, menjadikannya industri yang menguntungkan sekarang.

"Dan kini, nampaknya Kerajaan Barisan Nasional (BN) menyambar semua bahagian itu daripada sektor swasta, hanya untuk memberi manfaat kepada sebilangan orang sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Chong yang juga Ketua Bahagian SAPP Kepayan mengadu bahawa Kerajaan BN sejak tahun kebelakangan ini memberi hak eksklusif untuk barangan keperluan pengguna seperti gula, beras, simen kepada kroninya.

"Kroni BN mengawal hampir kesemua benda dalam kehidupan harian kita, dari dapur hinggalah di luar rumah," katanya.


Beliau berkata bahawa Kerajaan BN mungkin perlu mempertimbang dengan serius untuk mengawal perniagaan pengurusan perkebumian di negara ini, untuk perkhidmatan pengkebumian oleh golongan miskin," katanya.

Beliau juga menyatakan kesan negatif terhadap langkah monopoli yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk simen, di mana rakyat, khususnya pemaju tidak dibenarkan untuk membeli simen daripada tempat lain hanya daripada Cement Industries Sabah (CIS)

"Malangnya, bekalan simen di Negeri ini masih belum konsisten dan pemaju serta kontraktor, terpaksa bergantung kepada CIS," ujarnya.

Chong selanjutnya berkata sebab yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dalam memberi kawalan penuh terhadap pengorekan pasir sungai di Negeri ini kepada Sedco, iaitu untuk mengawal lebih baik pengorekan pasir sungai haram, adalah dipertikaikan.

Beliau berkata kuasa ke atas pengorekan pasir sebenarnya terletak di bawah Kementerian Galian di peringkat Persekutuan dan Jabatan Tanah dan Ukur di peringkat Negeri.

"Apa yang dapat Sedco lakukan? Mereka tidak mempunyai kuasa untuk menghalang aktiviti pengorekan pasir secara haram," katanya, sambil menambah bahawa langkah Kerajaan itu melahirkan lebih banyak masalah daripada penyelesaian.

Beliau menyatakan bahawa pihak berkuasa boleh menghentikan pengorekan pasir secara haram tanpa perlu memberi monopoli kepada Sedco melalui pemantauan wajar dan penguatkuasaan undang-undang, terutama jika tiada penyelewengan.

Harian Ekspres
Isnin, 19 Disember 2011
M/s 2

No comments:

Post a Comment