Lagatah Toyos
TAWAU: Parti Maju Sabah (SAPP) pada Isnin mengulangi pendiriannya untuk tidak menyertai Pakatan Rakyat (PR) tetapi akan terus bekerjasama dengannya sebagai rakan.
Penasihatnya, Datuk Mohd Noor Mansur berkata, beliau hanya mengulangi apa yang Presiden Parti, Datuk Yong Teck Lee telah katakan sebelum ini bahawa SAPP dan PR boleh menjadi rakan tetapi tidak semestinya berkahwin.
"Kita harus ingat bahawa situasi seperti itu pernah berlaku semasa era Berjaya apabila Usno dan PBS bersatu dan berhasil menumbangkan kerajaan Berjaya ketika itu," katanya di sini sempena program “SAPP Jelajah" untuk memperkukuhkan jentera parti itu.
Katanya, perbincangan antara SAPP dan PR untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang masih dibincangkan.
Bagaimanapun, katanya, ini bergantung kepada kejujuran parti-parti komponen PR kerana SAPP tidak akan membiarkan dirinya diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu hanya kerana statusnya sebagai sebuah parti pembangkang tempatan.
Bendahari Agung Dullie Marie pula berkata, parti itu hanya berminat untuk merampas negeri ini daripada Barisan maka bersedia untuk memberi laluan kepada PR untuk bertanding kerusi parlimen di Sabah.
Parti itu, katanya, telah mengenal pasti 40 daripada 60 kerusi negeri yang akan ditandinginya tetapi masih menunggu hasil perbincangan dengan PR.
"SAPP tidak tidak tamak dalam isu menentukan kerusi pada pilihanraya akan datang...asalkan sahaja hak autonomi Sabah tidak terjejas, kami bersedia untuk memberi ruang kepada parti lain untuk berbincang dengan kami," katanya.
Bagaimanapun, SAPP berharap dapat bertanding satu lawan satu dengan BN, katanya.
Ini adalah untuk memastikan kemenangan bagi pembangkang, katanya.
Beliau berkata, terdapat perkembangan positif dalam perkara itu walaupun sesetengah kenyataan yang dikeluarkan pemimpin dalam PR telah mengguris perasaan kepimpinan SAPP.
Harian Ekspres
Selasa, 25 Oktober 2011
M/s 2
No comments:
Post a Comment