Tuesday, 9 August 2011

SAPP parti berbilang kaum

PERSEPSI:    SAPP PARTI CINA?
 
PERSEPSI dari luar terutama dari kaum bumiputra bahawa PARTI MAJU SABAH atau pendeknya SAPP adalah sebuah Parti Cina. Persepsi sebegini adalah kerana pandangan kasar rakyat yang belum menyertai dan memahami perjuangan SAPP. Persepsi dan pandangan cetek ini berlaku dari awal parti SAPP ini ditubuhkan dalam tahun 1994, yang diterajui oleh seorang pemimpin Cina tempatan, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, yang dilahirkan pada 3hb Oktober, 1958 di Lahad Datu, Sabah.
 
Persepsi ini dikuatkan lagi dengan penyertaan ramai penyokong kaum cina apabila Datuk Yong Teck Lee keluar dari PBS untuk menubuhkan SAPP. Pada masa itu belum ramai kaum bumiputra menunjukkan minat untuk menyertai SAPP kerana mereka masih bertahan dalam UMNO, PBS dan parti-parti komponen BN lain di Sabah.
 
Dalam tahun yang sama (1994) SAPP menyertai Barisan Nasional. Setelah memenangi kerusi N.13 Likas dalam bulan Februari, 1994 atas tiket BN, Datuk Yong Teck Lee telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri, setelah BN mengambil alih pemerintahan negeri Sabah daripada PBS.
 
Pada 28hb Mei 1996, Datuk Yong Teck Lee dilantik menjadi Ketua Menteri yang kesepuluh mengikut sistem pengiliran dalam konteks mewakili kuota kaum cina. Dalam dua tahun sebagai Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee tidak pernah menganggap dirinya hanya mewakili kaum Cina, tetapi sebagai Ketua Menteri kepada semua rakyat jelata yang berbilang kaum, bangsa dan agama. Sebagai seorang pemimpin Cina yang menunjukkan keperihatinannya kepada rakyat dan negeri Sabah, maka bercambahlah titik sejarah ke arah halatuju yang lebih cerah dan kondusif di Sabah.
 
Perubahan senario politik ini telah membuka mata ramai rakyat yang berbilang kaum di negeri Sabah ini menunjukkan minat untuk menyertai SAPP. Pintu SAPP terbuka luas untuk menerima semua kaum di Sabah terutama kaum bumiputra. Ternyata hingga ke hari ini, begitu banyak cawangan SAPP ditubuhkan dan bilangan keahlian kaum bumiputra dalam SAPP lebih ramai dari ahli SAPP yang berketurunan kaum Cina.
 
Dalam SAPP sekarang ini kita mempunyai pemimpin-pemimpin bumiputra yang berkaliber, berpengalaman dan berpelajaran tinggi seperti Datuk Hj. Mohd. Noor Mansoor (Penasihat), Tuan Hj. Amde Sidik (Tim. Presiden), YB Datuk Eric E. Majimbun (Tim. presiden KDM), Encik Peter Marajin, Encik Dullie Marie, Encik Japiril Suhaimin, Datu Shuaib Mutalib, Yb. Datuk Frankie Chong, Tuan Hj. Jaafar Ismail, Encik Jimmy Jawatah, Encik Jamain Saruddin, Encik Edward Dagul, Encik Kamis Daming dan ramai lagi pemimpin kaum bumiputra di peringkat CLC (Bahagian) dan cawangan-cawangan SAPP di seluruh Sabah. Perkara ini diperkuatkan lagi dalam Fasal 5 Keahlian yang menyatakan “keahlian parti ini adalah terbuka kepada semua rakyat warganegara Malaysia yang telah mencapai sekurang-kurangnya 18 tahun, tidak berpandukan kepada bangsa, agama, kepercayaan, jantina dan sesiapa sahaja yang bukan ahli kepada lain-lair parti politik, dan sesiapa sahaja yang memegang kepada matlamat-matlamat parti ini,” seperti yang dicatatkan dalam Perlembagaan parti SAPP.
 
Dalam senario politik SAPP sekarang ini, persepsi parti yang dilabel parti Cina sudah tidak relevan lagi. Buktinya sudah lebih dari cukup. Penyertaan parti dan pemimpin- pemimpinnya dalam menyambut perayaan-perayaan seperti Rumah Terbuka Hari Raya, Tadau Tagazo Kaamatan, Tahun Baru Cina dan lain-lain diraikan sepanjang tahun. Dikuatkan dengan keperhatinan pemimpin agungnya, Datuk yong Teck Lee yang tidak mengira masa, tempat majlis, beliau akan sentiasa bersedia untuk bersama rakyat. Tidak kira majlis kenduri kematian, majlis perkahwinan, majlis bergunting, berkhatan dan lain-lain, sama ada dijemput atau tidak, kalau beliau mengetahui atau diberitahu, beliau akan bersama-sama rakyat. Itulah kelebihannya SAPP.
 
Kita hanya akan mengetahui secara mendalam kedudukan parti Maju Sabah atau SAPP sebenar kalau kita sanggup sama-sama berjuang dalam merealisasikan matlamat parti. Apa juga andaian dan persepsi yang dilemparkan dari luar samalah seperti mimpi di siang hari.
 
Bahari Aship

No comments:

Post a Comment