SAPP mahu kerajaan kaji semula kenaikan eletrik
Oleh VITALlS G BINGKASAN
vbingkasan@yahoo.com
KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) mahu kerajaan mengkaji semula keputusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menaikkan tarif elekrik sebanyak 15 peratus di negeri ini yang telah berkuatkuasa 15 Julai lalu.
Timbalan presiden SAPP, Datuk Eric Majimbun berkata kenaikan berkenaan akan memberikan kesan negatif kepada negeri ini.
"Ia akan menyebabkan pelabur tidak mahu datang ke sini dan pelabur sedia ada lari. Ini amat tidak baik kepada ekonomi negeri ini" katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di Inanam kelmarin.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan tidak sepatutnya membenarkan kenaikan berkenaan sebaliknya mencari jalan lain yang boleh mewujudkan situasi 'menang-menang' kepada SESB dan pengguna.
Katanya, kenaikan tarif elektrik berkenaan akan menghilangkan daya saing negeri ini menarik pelaburan dalam bidang perindustrian terutama berbanding negeri jiran Sarawak yang mempunyai tarif elektrik lebih murah.
Beliau berkata, ia menyebabkan usaha kerajaan mewujudkan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) sia-sia.
Katanya, kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang besar mewujudkan SDC termasuk pengwujudan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di kawasan Parlimen Sepanggar.
Beliau menambah, kesan negatif terhadap ekonomi akibat kenaikan tarif elektrik itu seterusnya akan membebankan rakyat dengan peluang pekerjaan yang akan semakin berkurangan serta kenaikan harga barang.
Katanya, alasan SESB menaikkan tarif elektik iaitu bagi menanggung kerugian juga tidak wajar terutama selepas syarikat itu mencatat keuntungan RM126 juta pada 31 Ogos 2006.
Turut sama pada sidang media berkenaan ialah naib presiden SAPP, Don Chin dan AJK SAPP Inanam, Chong Tet Loi.
Utusan Borneo
Khamis, 4 Ogos 2011
M/s A2
No comments:
Post a Comment