Tuesday, 16 August 2011

SAPP janji rakyat dapat tanah melalui reformasi tanah

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) bertekad melaksanakan reformasi tanah dengan memberikan tanah adat kepada rakyat tempatan.

Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee berkata reformasi tanah itu akan dilaksanakan dengan segera sebaik saja parti itu mengambilalih pucuk pimpinan Kerajaan Negeri selepas pilihanraya umum ke-13 akan datang.

“Sebaik sahaja SAPP menjadi kerajaan nanti, satu reformasi tanah akan dilaksanakan di mana tanah-tanah adat akan diberikan hanya kepada pnduduk tempatan sahaja.

"ini untuk mengelakkan para penduduk tempatan kehilangan tanah yang telah mereka duduki sejak bergenerasi lalu," katanya disambut dengan tepukan gemuruh daripada para penduduk di Kampung Cenderamata II Likas, di sini, kelmarin.

Turut hadir pada majlis penyampaian Ole-Ole Hari Raya Aidilfitri itu ialah tiga Timbalan Presiden SAPP, Amde Sidik, Datuk Liew Teck Chan dan Datuk Eric Majimbun, Pengerusi Penganiur, Awang Talip, Setiausaha Agung, Datuk Richard Yong, Naib Presiden, Dullie Marie, dan Penolong Setiausaha Agung Suaib Mutalib.

Yong berkata, reformasi tanah itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan kerana ketika beliau menjadi Ketua Menteri dari 1996-1998, beribu-beribu geran tanah telah diberikan kepada rakyat.

Beliau berkata, Kg Cenderamata II itu kini menjadi kampung simpanan hasil usaha beliau dan para penduduk kampung membangunkan semula kawasan itu yang telah hampir musnah akibat kebakaran besar pada 1997.

Pentadbiran kerajaan Sabah pada masa ini, ujarnya, memperlihatkan banyak kes di mana para penduduk tempatan kehilangan tanah yang telah lama mereka duduki kepada syarikat-syarikat swasta.

Katanya, kes seperti itu banyak berlaku terutamanya di daerah seperti Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Keningau, Kudat dan Kota Belud.

"Satu kes berlaku di Sukau Sandakan di mana penduduk asal di kawasan itu kehilangan tanah yang telah beberapa generasi mereka duduki kepada syarikat swasta. Lebih menyedihkan ialah mahkamah telah mengarahkan mereka menjalani hukuman penjara kerana menceroboh.

Utusan Borneo 

No comments:

Post a Comment