TAWAU: Daerah ini berhadapan risiko kemungkinan kekurangan sumber ikan lautnya sendiri apabila 156 nelayan komersil (laut dalam) tidak dapat turun ke laut selagi isu bekalan minyak diesel subsidi yang timbul tidak diselesaikan.
Pengerusi Persatuan Perikanan Tawau (PPT), Arsani Arsat berkata, perkara itu mungkin tidak dapat dielakkan dan mengakui mustahil bagi nelayan-nelayan komersil di daerah ini untuk turun ke laut selagi kuota 900,000 liter bekalan bahan api itu tidak diperolehi.
"Bagaimana kita mahu pergi menangkap ikan sekiranya minyak tiada?," katanya kepada pemberita di sini kelrnarin sambil menafikan dakwaan yang mengatakan pihak nelayan komersil di daerah ini sedang mengadakan mogok untuk tidak turun ke laut.
Menurut Arsani, insiden terbabit sudah seringkali berulang dan para nelayan komersil di dareah ini mahukan nasib mereka dibela begitu juga dengan nasib lebih 650 anak kapal di dalam sektor tersebut yang turut terjejas ekoran insiden berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), Ko-Nelayan, Jabatan Kastam termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) supaya mengambil tindakan drastik untuk mengatasi isu berkenaan.
"Dalam kes terbaru, tiada kelulusan diberikan untuk membenarkan penghantaran kuota 900,000 liter minyak diesel bersubsidi itu kepada pihak PNK kerana pegawai Kastam yang memiliki kuasa untuk menandatangani dokumen itu dikatakan bermesyuarat ataupun sedang bercuti.
"Masalah sebegini sudah kerap kali berulang. Tetapi kali yang paling kritikal dan teruk. Hari ini sudah masuk hari ke-10 bekalan minyak diesel bersubsidi itu tidak kita terima" katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Tambah beliau, adakalanya kuota minyak diesel yang diperuntukkan setiap bulan (900,000 liter) kepada para nelayan di daerah ini habis pada 23 atau 25 hari bulan dan penghantaran diesel bersubsidi selepas itu kebiasaannya akan menjadi lambat.
Beliau berkata pihaknya ada Bertanya berhubung permasalahan itu kepada pihak-pihak berkaitan, dan alasan yang seringkali diutarakan oleh pihak terbabit ialah pegawai kastam yang boleh tandatangani dokumen sedang bermesyuarat atau bercuti.
“Dalam masa sama, kami juga berhadapan risiko kapal ataupun bot karam atau tenggelam walaupun Cuma berlabuh sahaja kerana ketiadaan bahan api. Perlu diingat, bahan api juga diperlukan untuk mengeluarkan air dari dalam kapal ataupun bot,” katanya.
Difahamkan, sektor perikanan komersial (laut dalam) dan pesisir di daerah ini menyumbang sebanyak kira kira 50 peratus kepada bekalan ikan untuk pasaran tempatan, manakala selebihnya lagi dibawa masuk dari semporna dan Kunak.
Utusan Borneo
Selasa, 26 Julai 2011
M/s 1
No comments:
Post a Comment